Pertikaian nama Pensonic oleh Panasonic Pensonic

Penggunaan nama Pensonic pernah dipertikaikan oleh Panasonic Corporation sehingga membawa kepada tindakan mahkamah oleh Panasonic. Panasonic mendakwa bahawa nama Pensonic terlalu serupa dengan Panasonic serta dianggap sebagai salah satu jenama produk tiruan. Pertikaian tersebut turut dibawa ke mahkamah di beberapa negara. Di Singapura misalnya, Panasonic memperoleh injuksi untuk menghalang Pensonic menggunakan jenama tersebut pada November 2008 setelah beroperasi lebih 20 tahun.[2]

Di Sri Lanka pula, Pensonic berjaya mengetepikan pertikaian tanda niaga oleh Panasonic pada Januari 2009[3]. Hakim mendapati bahawa Pensonic telah didaftarkan di Malaysia pada tahun 1984 dan turut didaftarkan di Jepun (negara asal Panasonic) dan di banyak negara lain di dunia tanpa sebarang tentangan daripada Panasonic. Oleh itu, ia bermaksud kedua-dua jenama tersebut memang wujud serentak di kedua-dua negara mengikut sejarah.